SYEIKH SYAMSUDDIN HABIBULLAH KS

Maulana Syeikh Syamsuddin Habibullah K.S Merupakan silsilah saadat yang ke-27. Beliau lahir pada hari jumaat yang bersamaan 11 Ramadhan 1111 H atau 1113 H (1700M). Nama asal beliau adalah Mirza (Mazhar) Jan Janaan. Beliau merupakan keturunan Rasulullah yang ke-28 melalui pertalian hubungan dengan Muhammad bin Hanafiah K.S. Nenek moyang beliau merupakan orang-orang kerabat pada zaman pemerintahan yang berakhlak mulia, tegas, adil, berani, dermawan, dan berpegang teguh pada agamanya. Ayah beliau Mirza Jan, meninggalkan takhta dan kedudukannya dengan memilih menjadi orang yang fakir dan qanaah. Semua harta kekayaan beliau disedekahkan kepada faqir miskin dengan tujuan mendapatkan redho Allah S.W.T

Kata-kata Mutiara Syeikh Syamsuddin Habibullah KS

“Seseorang yang berkata “aku beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya serta segala sesuatu yang Allah S.W.T wahyukan kepada Rasulullah S.A.W . Aku menyintai apa yang Allah S.W.T dan Rasul-Nya cintai. Dan aku juga membenci terhadap semua benda yang Allah S.W.T dan Rasul-Nya benci. Merupakan ijmalul iman dan cukup untuk menyelamatkan seseroang.”

“Kita harus menghormati dan mencintai para wali Allah. Sesiapapun harus menerima dan meyakini bahawa syeikhnya (mursyidnya) lebih utama daripada Syeikh yang lainnya. Dan hal ini merupakan salah satu tanda cinta (tanda mahabbah) seorang murid kepada mursyidnya disebabkan murid tersebut telah mendapat manfaat maknawiah dari mursyidnya.”

Wafat Dan Makamnya

Pada malam Rabu tanggal 7 Muharram 1195 H (1781 M), telah datang tiga orang dari kaum majusi mengetuk pintu rumah Syeikh Syamsuddin Habibullah KS. Sejurus mendengar ketukan pintu, pembantu beliau membuka pintu. lalu memberikan khabar bahawa yang datang adalah para tetamu yang ingin berkunjung. Setelah Syeikh Syamsuddin Habibullah KS Mengetahui hajat pengunjung-pengunjung tersebut, beliau meminta agar pengunjung tersebut bertemu dengannya. Setelah sampai pengunjung tersebut di hadapan beliau, lantas beliau bangun dan menghampiri mereka. Salah seorang dari mereka bertanya “Tuan, apakah engkau Mirza Jan Janaan?”. Beliau menjawab “Ya, aku adalah Mirza Jan Janaan”. Rakan yang berada di sampingnya juga berkata “ya, dia adalah Mirza Jan Jnaan”. Seketika itu, pengunjung tersebut mengeluarkan pisau bilah lalu menikam tubuh Syeikh Syamsuddin Habibullah KS di kawasan yang berdekatan dengan jantung beliau.

Setelah tiga hari berlalu, pada hari Asyura bertepatan dengan hari Jumaat malam, beliau berada dalam keadaan taat dan mencuba beberapa kali menarik nafas secara dalam dalam akan tetapi titik nafas beliau berhenti pada ketika itu, dan beliau meninggal sebagai seorang syahid. Beliau dimakamkan di Delhi.