SYEIKH ABDULLAH DAHLAWI KS

Syeikh Abdullah Dahlawi KS adalah silsilah saadat ke-28, lahir pada tahun 1158 H (1745 M) di daerah Tebale, Punjab, India. Nasab beliau sampai kepada Sayidina Ali RA.

Kata-kata Mutiara Syeikh Abdullah Dahlawi KS

“Pada kalimah fakir (bahasa Arab; فقير), huruf fa-nya mempunyai makna kemiskinan, huruf qaf-nya mempunyai makna qana’ah, dan ra-nya mempunyai makna riyadah. Barang siapa yang memiliki kesemua kriteria ini, nescaya dia akan mendapatkan “fa” yang merupakan (فضل الله) keutamaan dari Allah SWT, mendapatkan “qaf” yang merupakan (قربة الله)pendekatan kepada Allah SWT, dan mendapatkan “ra” yang merupakan (رحمة الله) rahmat Allah SWT. Dan apabila seseorang itu melakukan sebaliknya, maka dia akan mendapatan “fa” yang merupakan (فضيحة) sifat tidak malu, “qaf” yang merupakan (قهر) kehancuran, dan “ra” yang merupakan (رذيل) penghinaan.”

“Pada suatu hari aku memakan sesuatu yang bersyubhah, setelah itu aku melihat Syeikh Syamsuddin Habibullah KS dan beliau menyuruh aku untuk muntahkan makanan tersebut setelah itu beliau berkata, “Kau tidak boleh makan di sembarangan tempat.”

Penyakit, Wafat, dan Makamnya

Ketika penyakit hemoroid (pembuluh darah yang melebar) yang dideritanya semakin parah, Syeikh Abdullah Dahlawi KS dalam waktu singkat mengirim beberapa surat kepada seseorang yang bernama Abu Said yang tinggal di bandar Lucknow. Beliau meminta agar Abu Said datang bertemu dengannya. Tujuannya adalah untuk menggantikan tempat beliau. Setelah sampai surat beliau kepada Abu Said, Abu Said meninggalkan keluarganya untuk memenuhi hajat Syeikh Abdullah Dahlawi KS. Ketika sampai di hadapannya, Syeikh Abdullah Dahlawi KS menyerahkan kedudukan khilafah kepada Abu Said sebagai pemegang kemursyidan secara sempurna.

Semakin hari semakin parah penyakit yang dideritai oleh Syeikh Abdullah Dahlawi KS. Beliau sentiasa berwasiat kepada murid-murid beliau agar sentiasa berzikir, berkelakuan baik, menguatkan hubungan maknawiah, bergaul dengan baik, ketika menghadapi takdir Ilahi dan menjauhi kata-kata yang bermakna penolakan seperti, “Kenapa semua ini terjadi? Atau, “Seandainya semua ini tidak terjadi.” Selain itu, beliau juga berpesan agar sentiasa menjaga perpaduan dengan saudara muslim, menyendiri dalam beribadah, memiliki rasa qana’ah, redha, taat, dan tawakal. Kesemua nasihat ini beliau selalu tulis dan memperingatkan kepada murid-murid beliau pada setiap masa.

Pada hari Isnin tanggal 22 safar 1240 H (1824M) di waktu syuruq, Syeikh Abdullah Dahlawi KS meminta Abu Said bertemu dengannya dengan segera. Ketika melihat Abu Said, beliau duduk secara iftirasy, dan meletakkan kepala beliau ke atas dada Abu Said. Dalam keadaan sebegini, beliau telah menghembuskan nafas terakhir beliau. Setelah dimandikan dan dikafankan, Abu Said memimpin solat jenazah dengan jumlah jemaah yang banyak. Sebelum dimakamkan, beliau diletakkan di tempat peninggalan Rasulullah SAW sebagai bentuk tabarruk. Setelah itu, beliau dimakamkan di Delhi di samping makam gurunya, Syeikh Syamsuddin Habibullah KS.