Syeikh Imam Rabbani Mujaddid Alfi Tsani Ahmad Al-Faruqi As-Sarhandi KS yang merupakan silsilah sa’adat Naqsyabandiyah ‘Aliyyah ke-23 telah dilahirkan pada hari Asyura tahun 971 H (1564 M) di kota Sirhind, India. Berdasarkan kata “Hasyi” dengan perhitungan huruf abjad yang terdapat di dalamnya, maka dapat ditemukan tahun tersebut. Nama sebenarnya Ahmad, ayahnya Abdul Ahad, dan datuknya Zaynal Abidin. Lakabnya adalah Badruddin. Kuniahnya adalah Abul Barakat. Beliau merupakan keturunan Sayidina Umar RA yang ke-28.
Syeikh Muhammad Baqi Billah KS memberikan nama “Imam Rabbani” kepada dirinya dan beliau lebih dikenal dengan nama “Imam Rabbani”. Kerana beliau adalah seorang mujaddid (pembaharu) pada seribu tahun yang kedua dari tahun Hijriyah, Abdul Hakim As-Siyalkuti yang merupakan salah satu ulama India untuk pertama kalinya memberi gelaran kepadanya dengan nama “Mujaddid Alfi Tsani.” Kerana dapat menyatukan hukum-hukum Islam dan ilmu Tasawuf, beliau pun diberi nama “Shila” yang bermakna penggabung. Selain itu, kerana merupakan keturunan Sayidina Umar RA, beliau juga diberi nama “Faruqi”, dan kerana tinggal di kota Sirhind, beliau pun dikenali dengan “Sarhandi” yang berkenaan dengan tempat tinggalnya. Dengan setiap sifat ini, beliau memiliki nama seperti berikut, Imam Rabbani Mujaddid Alfi Tsani Syeikh Ahmad Al-Faruqi As-Sarhandi KS. Beliau adalah seorang pengikut mazhab Hanafi.
Kata Mutiara Syeikh Imam Rabbani KS
“Allah SWT telah memberitahu kepadaku semua nama murid yang akan masuk ke dalam silsilah sa’adat sampai hari kiamat. Nisbahku (ikatan maknawiah) akan berjalan terus sampai hari kiamat dengan wasilah murid-muridku. Bahkan, Imam Mahdi pun akan datang dari nisbah syarif ini.”
“Sesiapa pun yang masuk ke dalam tarikat ini, tetapi tidak dapat menjaga adap-adapnya, dan melakukan perbuatan bid’ah, nescaya orang tersebut akan kehilangan banyak sesuatu dan termasuk orang-orang yang rugi.”
“Aku diberitahu seperti ini, ‘Tidak akan ada seorang pun yang mendapatkan kekhususan dan kesempurnaan yang diberikan kepadamu ini sampai zaman Imam Mahdi AS’.”
“Barang siapa yang dapat terbang di udara atau berjalan di atas air, tetapi ia meninggalkan salah satu amalan mustahab, dirinya tidak bermanfaat sedikit pun dalam tarikat ini walaupun hanya sebesar biji zarah.”
Beberapa Surat dari Maktubat Syarif Imam Rabbani KS
Solat dengan khusyuk
“Setelah sempurna bersuci dan berwudhu, kita dianjurkan untuk segera berniat untuk melaksanakan solat yang merupakan mi’rajnya orang mukminin.”
“Kita harus menunjukkan betapa pentingnya solat fardhu dengan berjemaah, bahkan kita harus berusaha untuk tidak meninggalkan takbiratul ihram bersamaan dengan imam. Selain itu, solat Qadha harus dilakukan pada waktu yang mustahab dan perlu menjaga ukuran sunah membaca Al-Qur’an.”
“Thoma’ninah perlu dilakukan pada ruku dan sujud. Thoma’ninah adalah menunggukan atau mendiamkan anggota badan seketika. Ketika I’tidal juga harus dilakukan thoma’ninah setelah seluruh anggota badan tenang dan berdiri dengan sempurna. Sebagaimana thoma’ninah yang dilakukan pada I’tidal, ketika duduk antara dua sujud pun thoma’ninah perlu dijaga.”
“Tasbih-tasbih yang dibaca ketika ruku’ dan sujud sekurang-kurangnya dibaca tiga kali dan sebanyak-banyaknya (menurut pendapat yang berbeza) boleh dibaca tujuh atau sebelas kali. Bilangan tasbih yang dibaca oleh imam perlulah disesuaikan dengan keadaan jemaah. Seorang mukmin yang solat berseorangan (munfarid) sepatutnya merasa malu jika membaca tasbih sekurang-kurangnya tiga kali dalam solat, dan dicadangkan agar membaca tasbihnya sebanyak lima atau tujuh kali.”
“Ketika mahu sujud, hendaknya terlebih dahulu kita meletakkan anggota badan yang paling dekat dari tempat sujud, yakni kita meletakkan lutut, tangan, hidung, kemudian dahi. Ketika meletakkan anggota sujud bagian tangan dan lutut, kita mulakan dengan anggota sujud yang sebelah kanan, ketika bangun dari sujud, kita mulakan dengan anggota sujud yang paling atas. Dengan demikian, kita perlu mengangkat dahi terlebih dahulu.”
“Ketika berdiri, kita harus melihat ke tempat sujud, ketika ruku’ kita harus melihat ke jari-jari kaki, ketika sujud kita harus melihat ke hujung hidung, dan ketika duduk kita harus melihat ke tangan. Menurut sebuah riwayat, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barang siapa yang melaksanakan solat dengan melihat tempat-tempat tersebut dan tidak mengarahkan pandangannya ke tempat lain, solat yang dikerjakannya dapat menjadi solat yang khusuk dan tawadhu.”
“Membuka jari-jari tangan pada saat ruku’ dan merapatkan jari-jari tangan pada waktu sujud adalah sunah. Kerana membuka jari-jari tangan pada waktu ruku’ dan merapatkannya pada waktu sujud memiliki banyak manfaatnya, Rasulullah SAW pun memerintahkannya. Tidak ada sesuatu yang bermanfaat untuk kita selain mengikuti sunah Rasulullah SAW.”
Kita Harus Memanfaatkan Hari-hari yang Kita Lalui dengan Sebaik Mungkin
Hal yang harus dilakukan oleh orang berakal adalah berusaha melakukan pekerjaan yang dapat mendatangkan keredhaan Allah SWT setiap hari dan setiap waktu. Apabila Allah SWT tidak meredhai pekerjaan seorang hamba, adakah hidupnya akan menjadi bermanfaat? Allah SWT melihat dan mengetahui segala sesuatu, Dia hadir dan menyaksikan setiap saat. Oleh kerana itu, kita harus merasa malu kepada Allah SWT. Jika seseorang mengira bahawa orang lain melihat aib dan pekerjaan buruk yang dilakukannya, nescaya orang tersebut sama sekali tidak akan melakukan aib dan perkara buruk, bahkan dia tidak ingin orang lain melihat perkara ini.
Alangkah menyedihkannya, ketika manusia mengetahui bahawa Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala sesuatu, sedangkan kebanyakan dari mereka tidak takut, tidak sedih, dan tidak peduli kepada Allah SWT. Bagaimana seorang muslim melakukan hal tersebut, tidak ada seorang pun yang menganggap bahawa Allah SWT ada di sisinya. Kita berlindung kepada Allah SWT dari amalan yang sia-sia dan keburukan hawa nafsu.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Perbaharuilah iman kalian dengan membaca kalimah laa ilaaha illallah.” Berdasarkan hadis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawasanya kita harus memperbaharui iman kita dengan kalimah mulia tersebut. Selain itu, kita perlu bertaubat atas segala dosa yang dilakukan dan kembali kepada Allah SWT. Kerana sesungguhnya kita tidak dapat memperkirakan kesempatan untuk bertaubat. Dijelaskan dalam hadis syarif, “Binasalah orang yang mengatakan ‘nanti’ pada setiap pekerjaan.”
Kita harus mengetahui kesempatan adalah sebuah ganimah dan kita harus memanfaatkannya dengan sesuatu yang dapat mendatangkan keredhaan Allah SWT.
Hasilnya dalam bertaubat merupakan anugerah dari Allah SWT.
Kita harus meminta anugerah ini kepada Allah SWT dan meminta himmah dari para wali Allah yang telah sampai pada makam hakikat dengan cara menjalankan syariat. Seterusnya, sampai datang anugerah Allah SWT, kita harus meminta bantuan melalui pintu-pintu para wali Allah tersebut.
Wafat dan Makam Syarif
Imam Rabbani KS wafat pada umur 63 tahun tepatnya pada tanggal 28 Safar 1034 H (1624 M) dan dimakamkan di kota Sirhind. Sekarang makamnya terdapat di perbatasan India, di daerah Sirhind yang masih berada di bawah naungan kota Punjab.