SYEIKH KHAWAJA MUHAMMAD BAQI BILLAH KS

Syeikh Khawaja Muhammad Baqi Billah KS adalah silsilah sa’adat ke-22. Beliau memiliki lakab Syeikh Berang. Beliau telah dilahirkan di Kabul pada tahun 971 H (1563 M). Ayahnya bernama Qadi Abdus Salam. Ibunya merupakan keturunan Sayidina Husein RA, sayidah, zuhud, dan seorang isteri solehah yang berkhidmat kepada orang-orang alim.

Keperibadian Beliau

Syeikh Muhammad Baqi Billah KS memiliki semangat yang besar dalam ibadah dan ketaatan. Beliau selalu membiasakan diri untuk sedikit makan, tidur, dan berbicara. Setiap malam setelah solat Isya hingga waktu solat Tahajjud, beliau selalu mengkhatamkan Al-Quran. Setelah itu, beliau meneruskan membaca surah Yasin sebanyak 21 kali sampai fajar tiba. Ketika fajar terbit, beliau sering mengatakan, “Ya Rabbi, kenapa malam hari begitu cepat berlalu?”

Syeikh Muhammad Baqi Billah KS sangat berhati-hati terhadap makanan yang dimakannya. Ketika diberikan hadiah kepadanya, beliau tidak akan menolaknya kerana mengikut sunah Rasulullah SAW, tetapi beliau tidak akan menggunakan hadiah tersebut untuk keperluannya sendiri. Beliau sering mengingatkan tukang masak agar mereka memiliki wudhu dan tidak berbicara hal-hal yang bersifat keduniaan ketika memasak makanan. Beliau berkata, “Asap akan keluar dari makanan yang dibuat oleh orang yang tidak berhati-hati dan khusyuk, dan asap tersebut dapat menutup pintu cahaya ilahi.” Dalam melakukan pekerjaannya, Syeikh Muhammad Baqi Billah KS selalu melakukannya dengan sempurna dan penuh semangat.

Sebagaimana beliau menjauhi hal-hal yang syubhah, beliau juga menjauhi segala sesuatu yang mubah dan hanya melakukannya dalam keadaan darurat.

Wafat dan Makam Syarif

Syeikh Muhammad Baqi Billah KS wafat ketika berumur 40 tahun pada tarikh 25 Rabiul Akhir 1012 H (1603 M). Beliau dimakamkan di Delhi tempat yang pernah disinggahi Rasulullah SAW yang terkenal dengan nama “Qadamgah”.

Ketika wafat, makam beliau digali oleh murid-muridnya yang paling jujur dan dipercayai. Namun, ketika jasadnya dibawa, tanpa disengaja mereka membawa jasadnya ke tempat lain. Ketika mereka letakkan kerandanya di tanah, mereka langsung teringat bahawa sebelum ini Syeikh Muhammad Baqi Billah KS pernah datang ke tempat yang diletakkan keranda tersebut. Ketika itu, beliau begitu suka dengan tempat ini lalu solat dua rakaat dan menaburi pakaiannya dengan tanah di tempat tersebut. Dengan demikian, Syeikh Muhammad Baqi Billah KS berkata, “Tanah tempat ini memegang pakaian kita.” Dengan mengingat perkataan Syeikh Muhammad Baqi Billah KS ini, murid-muridnya menguburkan jenazah beliau di tempat tersebut.