Imam Ja’far Shadiq RA yang merupakan silsilah sa’adat ke-4 lahir pada tarikh 8 Ramadhan 80 H (699 M) di kota Madinah Al-Munawwarah. Ja’far Shadiq RA juga merupakan salah seorang pembesar ahli bait. Disebabkan kata-katanya yang penuh dengan kejujuran dan kebenaran, beliau terkenal dengan laqab “Shadiq”. Kuniahnya adalah Abu Abdullah dan Abu Ismail.
Nasab Ja’far Shadiq RA dari ayahnya sampai kepada Ali bin Abi Thalib RA. Ayahnya adalah Muhammad Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husein bin Ali bin Abi Thalib (radhiyallahu anhum).
Nasab Ja’far Shadiq RA dari wasilah ibunya yang bernama Ummu Farwah sampai kepada Abu Bakar As-Shiddiq RA. Nama datuknya (sebelah ibu) adalah Qasim bin Muhammad RA yang merupakan silsilah sa’adat ke-3 sekaligus salah satu cucu dari Abu Bakar Ash-Shiddiq RA.
Ja’far Shadiq RA merupakan salah seorang daripada tabi’in yang pernah melihat sahabat Rasulullah SAW, iaitu Anas bin Malik dan Sahal bin Sa’ad (radhiyallahu anhuma).
Imam Azham Nu’man bin Tsabit (Imam Abu Hanifah) KS berintisab (menisbatkan diri, berguru) kepada Imam Ja’far Shadiq RA. Imam Azham berkata, “Kalaulah dua tahun itu (waktu aku berguru kepada Imam Ja’far Shadiq RA) tidak ada, nescaya celakalah Nu’man.”
Kata2 Mutiara Imam Ja’far Shadiq RA
“Solat adalah momentum didalam mendekatkan orang-orang bertakwa dengan Rabbnya.
Haji adalah jihad orang-orang lemah.
Zakat badan adalah puasa.
Doa yang dilakukan tanpa amal ibarat panah yang dilesatkan tanpa busur.
Perbanyakkanlah rezeki kalian dengan memberikan sedekah, dan jagalah harta kalian dengan zakat.
Orang yang berhemah tidak akan memerlukan bantuan.
Perancangan adalah setengah dari mata pencarian.
Persahabatan adalah setengah dari akal.
Orang yang menyakiti ayah ibunya bererti dia telah berdosa kepada mereka.
Orang yang tidak sabar ketika ditimpa musibah akan kehilangan pahala.
Allah SWT menurunkan musibah sesuai dengan kadar kesabaran dan menurunkan rezeki sesuai dengan usaha yang dilakukan.”
Wafat dan Makam Syarif
Ja’far Shadiq RA wafat pada bulan Syawal 148 H (765 M) di kota Madinah Al-Munawwarah ketika usianya 68 tahun. Beliau dimakamkan di Jannatul Baqi’ di tempat yang sama dengan ayahnya.