SYEIKH ABDUL KHALIQ AL-GHUJDUWANI KS

Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani KS yang merupakan silsilah sa’adat ke-9 adalah pemimpin Silsilah Naqsyibandiyah, salah satu pembesar syeikh Naqsyibandiyah, dan merupakan khalifah Syeikh Yusuf Al-Hamadani KS yang ke-4.
Syeikh Abdul Khaliq KS lahir di daerah Ghujduwan yang jaraknya sekitar 50 km dari kota Bukhara. Namun, tidak tertulis di dalam kitap tentang tarikh lahir beliau. Nama ayahnya adalah Abdul Jamil. Imam Abdul Jamil RH adalah salah seorang daripada cucu Imam Malik RH. Imam Abdul Jamil RH juga merupakan salah seorang ulama’ besar yang terkenal di zamannya sama ada dari segi ilmu zahir mahupun batin. Imam Abdul Jamil RH tinggal di Malatya dan memiliki seorang isteri yang merupakan puteri daripada salah seorang Kaisar Romawi. Disebabkan pertelingkahan yang terjadi di daerah Romawi dan Syam, beliau bersama dengan seluruh kaum kerabat beliau berpindah ke Transoxiana (Maa waraaun nahar). Mereka datang ke Bukhara dan menetap di Ghujduwan.

Imam Abdul Jamil RH memiliki ikatan persaudaraan maknawiah dengan Nabi Khidir AS. Pada suatu hari yang mulia, Nabi Khidir AS memberikan khabar gembira bahawasanya Imam Abdul Jamil RH akan dikurniakan seorang anak lelaki dan Nabi Khidir AS pun memberikan nama “Abdul Khaliq” kepada anak yang akan lahir tersebut. Setelah mereka menetap di Ghujduwan, Abdul Khaliq Al-Ghujduwani KS lahir ke dunia. Abdul Khaliq KS membesar di Ghujduwan dan beliau mula menuntut ilmu di Bukhara.

Doa Setelah Solat Fardhu

Suatu hari, datang seseorang dan berkata kepada Syeikh Abdul Khaliq KS,

“Wahai syeikh, doakanlah agar aku dapat pergi ke akhirat (wafat) dalam keadaan beriman dan selamat daripada godaan setan.” Kemudian, beliau berkata,

“Allah SWT berjanji akan mengabulkan doa yang dilakukan selepas solat fardhu. Engkau doakanlah kami dan kami pun akan mendoakanmu setelah solat fardhu. Dengan cara ini, sudah pastilah tanda akan dikabulkan doa kami untukmu dan doamu untuk kami. Hasilnya hanya datang dari Allah SWT.”

Tarikat Naqsyibandiyah mempunyai 8 prinsip asas:

Khush Der-Dem (bernafas secara sadar), Nazar Ber-Qadem (perhatikanlah langkahmu), Sefer Der-Watan (perjalanan pulang), Khalwat Der-Enjuman (menyendiri di tengah keramaian), Yaad-Kard (zikir utama), Baaz-Gesht (kembali), Nigaah-Dasht (perhatian), dan Yaad-Dasht (mengumpulkan lagi).

Thaifah Aliyyah pula mempunyai 3 prinsip asas: Wukuf zamani (menghitung dan memerhatikan waktu untuk mengingat Allah SWT), Wukuf ‘adadi (berkaitan dengan bilangan, yang mengandungi makna pengutamaan hitungan ganjil dalam berzikir, sebagai penghormatan yang bersifat sunnah atas kesukaan Allah SWT pada jumlah ganjil), dan Wukuf qalbi (menjaga setiap gerakan hati untuk selalu mengingat dan menyebut nama Allah SWT).

Jumlah keseluruhannya adalah 11 prinsip.

Wafat dan Makam Syarif

Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani KS wafat pada tahun 575 H (1180 M) dan dimakamkan di Ghujduwan.

Tarikh wafat beliau boleh diketahui daripada syair berikut berdasarkan susunan abjadiyah “Mahbubun Nabiyyil Mujtaba” (Kekasih Nabi SAW yang terpilih). Makamnya terletak di daerah Ghujduwan berdekatan dengan jalan raya yang menghubungkan Bukhara-Samarkand, Uzbekistan.