Mukhtasar Sirah Nabawiyyah

Mengenali dan mencintai Nabi Muhammad SAW yang merupakan rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam semesta) dengan baik, seorang manusia berbudi pekerti mulia dunia dan akhirat, serta menjadi ummatnya yang hakiki adalah perkara yang perlu bagi setiap mu’min.Seseorang itu tidak akan menjadi mulia walau dengan apa sekali pun selagi dia tidak mengetahui,mengenali dan mencintai Nabi Muhammad SAW.

Nabi kita adalah Nabi Muhammad SAW, ayahnya bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah. Ayahnya wafat ketika beliau masih 7 bulan berada di dalam kandungan ibunnya. Nabi Muhammad SAW lahir pada malam hari menjelang subuh di Mekah Al Mukarramah pada tanggal 20 April 571 M atau bertepatan dengan hari Isnin tanggal 12 Rabiul Awwal.Kelahiran beliau tidak menyerupai seperti kanak-kanak yang lain kerana padanya terdapat nur(cahaya)kenabian yang mampu menyinari seluruh alam.
Nabi Muhammad SAW tinggal bersama ibu susunya yang bernama Halimah sampai usianya mencecah 4 tahun. Kemudian, beliau diserahkan kepada keluarganya. Ibunya, Aminah wafat ketika beliau berusia 6 tahun. Kemudian beliau diambil dan dijaga oleh datuknya yang bernama Abdul Muthalib.Selepas dua tahun kemudian, ketika beliau berusia 8 tahun, datuknya juga pergi meninggalkannya(wafat). Kali ini, beliau tinggal bersama dengan pak ciknya, Abu Thalib.

Sepanjang hidup beliau (dari kecil sampai beliau menikah), Nabi Muhammad SAW menjalani kehidupannya dengan penuh kemuliaan dan kesempurnaan yang tidak mungkin diperolehi oleh mana-mana manusia yang ada di muka bumi ini.
Ketika beliau berusia 25 tahun, Nabi Muhammad SAW menikah dengan Siti Khadijah Al-Kubra. Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyembah berhala, bahkan sejak kecil lagi beliau tidak menyukai berhala-berhala tersebut. Nabi Muhammad SAW hanya menyembah Allah SWT berdasarkan ajaran yang dibawakan oleh Nabi Ibrahim AS. Kadang-kadang,beliau akan pergi ke Gua Hira’ yang berada di wilayah Mekah Al-Mukarramah semata mata untuk bertafakkur dan merenungkan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Sejak daripada azali lagi, Allah SWT telah membukakan lautan mahabbah kepada diri Nabi Muhammad SAW , sekaligus memenuhi hati beliau dengan pancaran cahaya tauhid yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

Pada suatu hari, ketika beliau berada di Gua Hira’, dengan perintah Allah SWT Malaikat Jibril AS datang menemui Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan risalah kenabian kepadanya. Malaikat Jibril AS berkata kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan kekasih Allah SWT dan penyelamat bagi manusia, “Bacalah!”Lalu Nabi Muhammad SAW bertanya, “Apa yang perlu aku baca?” Malaikat Jibril AS memeluk beliau lalu melepaskannya dan berkata, “Bacalah!” Nabi Muhammad SAW bertanya lagi, “Apa yang perlu aku baca?” Dan untuk kali yang ketiga, Malaikat Jibril AS memeluk beliau lalu melepaskannya dan berkata, “Bacalah!”.

Dengan begitu, Nabi Muhammad SAW telah mendapatkan operasi secara maknawiah dari Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril AS. Setelah itu, Malaikat Jibril AS menyampaikan wahyu kepada beliau yang berupa 5 ayat pertama dari surat Al-‘Alaq yang artinya “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, yang mengajar (manusia) dengan pena, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”(QS Al-‘Alaq:1-5)

Dengan demikian, Nabi Muhammad SAW telah mendapat risalah kenabian. Proses penurunan Al-Quranul Karim terjadi selama 23 tahun. Rasulullah SAW berdakwah mengajak manusia masuk ke dalam agama Islam selama 13 tahun di Mekah Al-Mukarramah.Walaupun beliau menghadapi kesusahan dan kepayahan di dalam menyebarkan agama Islam beliau tetap teguh dan bersabar demi untuk menyebarkan agama Islam,agama yang menceritakan tentang keesaan Allah SWT ini. Kemudian, Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah.Berkat daripada kekuatan yang diberikan kepadanya,dalam masa 10 tahun sahaja beliau telah berjaya melaksanakan tugas kenabiannya.Rasulullah SAW mengajarkan nilai-nilai murni dan memperkenalkan peradaban Islam kepada orang-orang Madinah Al Munawwarah. Rasulullah SAW juga menyinari hati-hati mereka yang penuh dengan kegelapan dan kejahilan itu dengan cahaya Islam.Hasilnya, Rasulullah SAW berjaya melaksanakan tugas kenabiannya dengan sempurna. Beliau wafat ketika umur beliau mencecah 63 tahun (1). Beliau mewariskan Al Quran dan As Sunnah sebagai petunjuk dan hidayah kepada ummatnya.

Salawat dan salam ke atas dirimu yang mulia, ya Rasulullah SAW.Hanya Allah SWT sahajalah yang mampu memujimu dengan pujian yang selayaknya. Engkaulah Nabi Muhammad SAW yang terpilih. Engkau adalah rahmat untuk seluruh alam dan seorang rasul (utusan) untuk semua ummat manusia dan jin. Engkau adalah nabi dan rasul yang terakhir. Allah SWT berfirman tentang dirimu, “Laulaaka laulaak lamaa khalaqtul aflaak.” (2)


(1) Umur Rasulullah SAW menurut kalendar Hijriah adalah 63 tahun kerana beliau lahir 53 tahun sebelum hijrah dan wafat setelah 10 tahun hijrah. Sementara itu, menurut kalendar Masehi, umur Rasulullah SAW adalah 632-571= 61 tahun. Perbezaannya hanya dua tahun kerana menurut kalendar Hijriah, satu tahun adalah 354 atau 355 hari, sedangkan menurut kalendar Masihi, satu tahun adalah 365 hari.
(2) Dikatakan dalam hadis qudsi, “Kalaulah engkau (Nabi Muhammad SAW) tidak ada, Aku tidak akan menciptakan alam semesta.”