Tanggungjawap dan Jasa Baik
Setelah Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S menamatkan semua pengajiannya pada tahun 1919, kemudian pada tarikh 1 Jun 1920, beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang dersi`am. Pada tahun 1922, di samping bertugas sebagai seorang dersi’am, beliau juga mula mengajar sebagai guru Bahasa Turki kelas satu untuk peringkat pertama (İbtida-i Hariç) Madrasah Darül Hilafetil-Aliyye. Setelah itu, pada tanggal 29 Mac 1923, beliau dipindahkan menjadi guru Tata Bahasa Arab. Pada tarikh 25 September 1923 beliau kembali mengajar Bahasa Turki. Pada 1 November 1922, kesultanan Turki Utsmani telah dihapuskan. Kemudian, pada 3 Mac 1924, pemerintah menetapkan Undang-undang Penyatuan Pendidikan, dan berdasarkan hukum tersebut, semua madrasah berada dalam kekuasaan dan perintah dari Menteri Pendidikan serta madrasah-madrasah ini akan dihapuskan secara keseluruhan. Akan tetapi, Madrasah İbtida-i Hariç tempat Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mengajar diubah menjadi Sekolah Imam Hatip oleh rejim yang ada di negara tersebut, sehingga mengakibatkan pendidikan agama Islam pada saat itu tidak diajarkan dengan sempurna. Oleh kerana itu, beliau mengundurkan diri dari Sekolah Imam Hatip dengan mempertahankan kerjayanya sebagai seorang dersi`am. Dengan adanya Undang-Undang Penyatuan Pendidikan, para mudarris kehilangan pekerjaan mereka. Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S bersama dengan para mudarris Istanbul yang lain yang berjumlah sekitar 520 orang.Mereka semua berkumpul di Cemiyet-i Müderrisin bagi mengadakan sebuah pertemuan. Dihadapan mereka Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mengingatkan mereka tentang perkembangan-perkembangan ini yang mengakibatkan hilangnya ilmu-ilmu agama lalu berkata, “Wahai para mudarris, pada hari ini kalian semua adalah jaminan untuk agama Islam bagi negara ini. Apabila setiap daripada kalian mengajar agama Islam ini kepada 2-3 orang, maka kalian akan memanjangkan umur agama Islam ini hingga 50 tahun atau paling sedikit satu sampai dua generasi kehadapan. Jika kalian tidak melakukannya, nescaya kalian tidak akan mampu menyelamatkan diri kalian di hadapan Allah SWT kelak.” Akan tetapi, sebahagian dari mereka berkata, “Tidak ada lagi penghasilan sebagai seorang mudarris yang tersisa bagi kita selepas ini. Mari kita cari pekerjaan lain yang disediakan oleh pemerintah.” Syeikh Sulaiman Hilmi KS menjawab, “Wahai saudara-saudaraku yang dimuliakan, menjadi seorang ustadz dan mengajarkan agama Islam bukanlah sebuah kerjaya dan bukan juga untuk mencari sesuap nasi. Seorang ustadz bererti menjadi pegawai Allah SWT, pegawai Rasulullah SAW, dan pegawai Kitabullah, Al-Qur’an.” Dan pada akhirnya, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S berhasil memujuk beberapa orang dersi’am, kemudian mereka mengirim sebuah telegraf kepada pemerintah yang berbunyi,
“Kami yang bertanda tangan di bawah ini memaklumkan bahwa disebabkan telah terjadinya Perang Dunia sehingga menyebabkan adanya kesan yang begitu besar terhadap negara ini seperti krisis ekonomi dan kewangan, maka dari itu kami bersiap sedia untuk mengajarkan agama Islam secara sukarela dan tanpa meminta sebarang bayaran.” Pemerintah memberikan balasan diatas telegraf tersebut seperti berikut, “Undang-Undang Penyatuan Pendidikan saat ini sedang diterapkan di seluruh bahagian negara ini. Semua tindakan yang dianggap melawan hukum, akan mendapat hukuman yang berat dengan segera.”
Jawapan ini sangat jelas dan ketat. Pada tahun 1926, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mengunjungi perkampungan Ferhatlar untuk yang terakhir kalinya. Dan setelah 40 hari tinggal di sana, beliau kembali ke Istanbul, Turki. Dua tahun kemudian,pada tahun 1928, beliau mendapat khabar bahawa ayahnya yang bernama Osman Efendi telah wafat.
Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S yang berjuang untuk menegakkan agama Islam pada masa yang begitu sulit menceritakan hari-hari yang dilaluinya, “Pada waktu itu, aku ingin mengajarkan Al-Qur’an kepada orang lain dengan cara memberikan mereka upah yang setara dengan gaji ahli parlimen, namun aku tidak menemuinya. Mereka mengambil duitnya lalu pergi begitu sahaja, kerana mereka berada dalam keadaan ketakutan. Yang aku risaukan adalah hilangnya ilmu-ilmu ini dari muka bumi ini. Akan tetapi, kemudian Allah SWT menciptakan beberapa sebab sehingga aku mendapat peluang untuk mengajarkan Al-Qur’an. Kami mula mengajarkan orang-orang tua, setelah itu anak-anak muda mula datang dan kami mula mengajarkan kepada mereka. Sekarang terus bersambung, dan ini semua adalah kurniaan daripada Allah SWT.”
Pada tahun 1930, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S yang selalu diawasi oleh pegawai polis pergi dari Istanbul menuju ke Kampung Kabakça yang berada di daerah Çatalca, dan di sana beliau menyewa sebuah ladang digunakan untuk mengajar agama Islam kepada pelajar-pelajarnya. Selain itu, beliau juga dengan seorang sahabatnya menjadi pengedar utama salah satu perusahaan minyak gas yang berada di daerah Trakia. Syeikh Sulaiman Hilmi K.S mengajar Al-Qur’an kepada orang-orang yang bekerja di ladang yang telah disewanya. Akan tetapi, pada masa pihak polis sudah ketahuan perbuatan beliau, Syeikh Sulaiman K.S pergi ke daerah Kuşkaya agar beliau boleh menyambung pengajian Al-Qur’annya di sana. Setelah itu, beliau menyewa sebuah tempat di dalam hutan yang terdapat di daerah Silivri untuk pengeluaran arang pokok oak.
Dan di sana beliau menyambung pengajiannya. Ketika kegiatan belajar-mengajar Al-Qur’an Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S yang dilakukannya diketahui oleh pihak polis, pada tahun 1933, beliau pergi ke daerah perbukitan Toros yang terdapat di bahagian selatan Turki. Di sana selain mengajar murid-muridnya, beliau juga bekerja di sebuah penternakan yang menghasilkan susu dan yogurt. Bahkan, beliau juga mengajar di dalam kereta api yang melakukan perjalanan antarabandar.
Pada saat Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan KS tidak mampu menemukan murid, beliau mengajarkan dua puteri tercintanya dan memberikan ijazah kepada mereka. Semua pekerjaan yang dilakukan oleh beliau bertujuan hanya semata-mata untuk mengaburi kegiatannya mengajar agama Islam.
Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mengajarkan agama Islam dan berkhutbah di masjid-masjid yang terdapat di Istanbul seperti Masjid Doğancılar, Masjid Aziz Mahmud Hudayı, Masjid Yağkapanı, Masjid Softa Hatip, Masjid Üçmihraplı, Masjid Agung Kasımpaşa, Masjid Piyalepaşa, Masjid Ağa, Masjid Arap, Masjid Arpacılar, Masjid Asmalı, dan Masjid Kısıklı.
Selain itu, beliau juga berkhutbah di masjid-masjid besar seperti Masjid Şehzadebaşı, Masjid Laleli, Masjid Fatih, Masjid Süleymaniye, Masjid Sultanahmed, Masjid Bayezid, dan Masjid Yenicami. Sambil berkhutbah di masjid-masjid, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S juga meneruskan tugas utamanya iaitu mengajarkan Al-Qur’an kepada murid-muridnya di tempat nazir masjid, rumah-rumah dan ruang bawah tanah apartment.
Di antara murid-muridnya terdapat mereka-mereka yang mempunyai pekerjaan yang berbeza-beza, baik tua mahupun muda. Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mendapat perhatian yang begitu besar dari seluruh masyarakat, kerana aqidahnya yang merupakan Ahlissunnah wal Jama’ah, dan ceramah-ceramahnya yang berpengaruh. Maka dari itu, setelah tahun 1950 beliau mula meningkatkan kegiatan dakwahnya dengan memanfaatkan beberapa kesempatan dan fasiliti yang ada serta pertolongan dari orang-orang kaya yang mencintai beliau.
Pada tahun 1951 Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S untuk pertama kalinya membuka sebuah madrasah dengan jumlah pelajarnya sekitar 25 orang, mereka tinggal di tingkat pertama sebuah villa tua di daerah Çamlıca yang terdapat di Üsküdar, milik seorang pengusaha. Pada tahun-tahun berikutnya, beliau mula mengajar di sebuah ruangan rumahnya lalu di beberapa rumah yang disewakan di daerah Çamlıca dan sekitarnya, serta di sebuah bangunan di sebelah tempat beruzlah Aziz Mahmud Hüdayı. Pada tahun yang sama, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mengajar pelajar-pelajarnya yang mana sebahagian dari mereka merupakan imam dan muazzin di Masjid Şehzadebaşι dan Masjid Taştekneler yang berada di daerah Vefa (Molla Hüsrev) di Istanbul bahagian Eropah. Dengan melihat keadaan pada masa itu, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S menamatkan pengajarannya dalam jangka masa yang singkat, sedangkan pelajaran yang beliau ajarkan hanya boleh ditamatkan dalam jangka masa bertahun lamanya jika menggunakan sistem pengajian di madrasah-madrasah.
Ketika mendapat kritikan mengenai hal ini, beliau membalas dengan berkata “Wahai saudara-saudaraku yang mulia, ketika umat Islam ibarat banjir yang sedang hanyut ke neraka, adakah kita memiliki waktu untuk mempelajari semua ilmu ini dalam waktu lima hingga sepuluh tahun? Kami memberikan kunci ilmu kepada murid-murid kami. Dengan kunci inilah mereka akan membuka pintu-pintu ilmu pengetahuan melalui buku-buku serta perpustakaan.’’
Dalam pengajarannya, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S memulakannya dengan mengajar membaca Al-Qur’an dan pendidikkan dasar agama Islam. Kemudian dengan kitab-kitab berbahasa Arab beliau mengajar ilmu saraf: Amtsilah, Bina, dan Maqsud, ilmu nahu: Awamil, Izhar, Kafiyah, Molla Cami, ilmu kalam: aqaid Nasafiyyah dan bait Amali, ilmu fiqh; Nurul Idhah, Quduri, ushul fiqhi; Muhtasarul Manar, ilmu mantik; Isaguci, ilmu bayan dan badi’: Risalah Alaqah, Talhissul Miftah dan Muhtasarul Ma’ani.
Dan murid-murid Tekamul pula diajarkan mata pelajaran yang lebih tinggi lagi dalam bidang ilmu kalam; Syarah Akaid karangan Sa’duddin Taftazani, untuk ilmu fiqh; Durarul Hukkam karya Molla Hüsrev dan usul fikih; Miratul Usul karya Molla Hüsrev serta Majamiul Hakaik karya Hadimi, kemudian untuk masalah ilmu mantik; Syamsiyyah karangan Ali Al-Kazwini, dan jika ada waktu yang memungkinkan, beliau mengajarkan ilmu faraid, ilmu tafsir, ushul tafsir, ilmu hadith dan ushul hadith dengan sebuah kitab dari setiap subjek, lalu memberikan ijazah.
Selain mengajarkan ilmu-ilmu agama, beliau juga memberikan maklumat tentang ilmu astronomi dan ilmu kedoktoran serta menjadi pembimbing bagi murid-muridnya untuk meningkatkan wawasan mereka. Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S mengirim murid-murid yang dididiknya ke pelbagai tempat untuk mengajar kepada masyarakat. Dengan cara ini, halaqah pelajaran semakin bertambah. Khususnya pada bulan Ramadhan, Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S selalu mengirimkan murid-muridnya untuk berceramah dan mengajar ke beberapa bandar dan perkampungan di Trakia dan Anatolia.
Di samping itu, Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S juga menyiapkan murid-muridnya untuk mengikuti ujian rasmi sehingga beliau mampu menjadikan mereka mufti, penceramah, imam dan guru di madrasah. Beliau tidak hanya mendidik murid-muridnya dari segi ilmu syariah dan ma’nawiyah saja, tetapi beliau juga menitik beratkan keperluan harian mereka seperti tempat tinggal, makan-minum, dan kesihatan. Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S selalu diawasi ketika menjalankan kegiatannya seperti berceramah dan mengajar murid.
Bukan hanya itu, beliau juga selalu dipanggil ke balai polis, disoal siasat, bahkan kadang-kadang beliau ditahan dalam sebuah tempat yang dinamakan Tabutluk serta mengalami penyiksaan di sana. Pada tahun 1956, dalam suatu ceramahnya Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S berkata, “Kita tidak dapat membantu saudara-saudara kita yang berada di Aljazair, walaupun tidak dapat membantu secara langsung, kita dapat menolong mereka dengan berdoa.” Dengan penyataan ini, beliau disoal siasat oleh pihak polis.
Pada tahun 1957, seseorang yang berasal dari daerah Tavşanlı di kota Kütahya melakukan demonstrasi tentang pengakuan datangnya seorang Imam Mahdi yang terjadi di Masjid Ulucamii di kota Bursa. Kemudian, Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S dikaitkan dengan peristiwa ini.
Kemudian, beliau ditangkap dan dipenjara pada usia 69 tahun di Pusat Balai Polis Kütahya selama 59 hari. Setelah itu, beliau dibawa ke pengadilan. Akan tetapi, pada akhirnya seperti kes-kes yang sebelumnya, beliau pun dibebaskan atas segala tuntutan yang ditujukan kepada dirinya, disebabkan kesaksian palsu yang diberikan.
Dengan hal ini, beliau pada 29 Ogos 1957 mendapatkan kebebasan bersyarat dan pada tarikh 8 November 1957 dibebaskan secara penuh. Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S selalu ditimpa fitnah yang berat dan perlakuan buruk dari pemerintah. Meskipun demikian, beliau tetap mengorbankan dirinya dengan memberi bimbingan kepada masyarakat dan mengajarkan murid-muridnya.