Kehidupan Pengajian
Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S menamatkan sekolah rendah dan menengahnya di Silistra pada tahun 1902. Di tahun yang sama, beliau mula belajar asas-asas ilmu Bahasa Arab di Madrasah Satırlı yang terdapat di Silistra. Kemudian, pada tahun 1907, dia dihantar oleh ayahnya ke Istanbul untuk mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi. Ketika itu, ayah beliau memberi nasihat, “Wahai anakku, jika engkau mempelajari ilmu Usul Fikih dengan baik, kau akan kuat dalam agamamu. Dan jika engkau mempelajari ilmu Mantik , engkau akan kuat dalam ilmu pengetahuanmu.”
Di Istanbul, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S menuntut ilmu agama dari salah seorang dersi’am di Fatih sekaligus merupakan ulama’ yang terkenal pada masa itu, iaitu Ahmad Hamdi Efendi yang berasal dari Bafra . Pada tahun-tahun ini juga, beliau tinggal di Madrasah Hafız Ahmed Paşa di daerah Fatih.Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S belajar di Bahri Sefid Çifte Baş Kurşunlu yang merupakan salah satu madrasah yang terdapat di Kompleks Madrasah Fatih. Beliau menamatkan pengajiannya di Ahmad Hamdi Efendi pada tahun 1913, dan kemudian dia menerima ijazah dari gurunya itu dengan markah yang terbaik.
Pada bulan November 1914, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S memulakan pengajiannya daripada peringkat ketiga di Madrasah Darül Hilafetil-Aliyye setelah beliau berjaya melepasi peringkat pertama dan kedua melalui ujian. Beliau lulus dari madrasah ini pada tahun 1916. (Pada tahun 1917, Kısm-ı Ali yang tempoh pengajiannya selama 4 tahun dan peringkat ketiga dan keempatnya diajarkan di Madrasah Fatih diubah namanya menjadi Sahn).
Pada tarikh 30 September 1916, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S mendaftarkan dirinya di Madrasatul Mütehassısin yang tempoh pengajiannya mengambil masa selama 3 tahun dalam bidang Tafsir dan Hadits untuk murid-murid pascasarjana mendapatkan gelaran doktor. Pada tahun 1917, Madrasah Mütehassısin yang telah beroperasi di Madrasah Abdül Hamid I yang berada di sebelah Masjid Yavuz Sultan Selim di daerah Fatih diubah namanya menjadi Madrasah Sülaimaniye.
Disebabkan kejayaannya meraih markah yang sempurna pada dua tahun pertama di madrasah ini, maka pada tahun 1918 beliau mendapat tawaran untuk menjadi Syaikhul Islam sekaligus menjadi dersi`am serta memperolehi jawatan sebagai İstanbul Müderrisliği Ruûsu bersama dengan 20 orang sahabatnya yang lain dengan cadangan dari Khalifah Mehmed Vahidüddin. Dan pada tarikh 27 Mei 1919, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S lulus dengan mendapat tempat pertama dalam bidang Tafsir dan Hadits di Madrasah Süleymaniye (Madrasatul Mütehassısin).
Setelah lulus dari Madrasatul Mütehassısin, beliau mengikuti ujian masuk ke Madrasatul Kuzat (15) dan berhasil meraih markah tertinggi dalam ujian kemasukan Fakulti Kehakiman. Akan tetapi, ketika dia dengan sangat bahagianya mengirim khabar baik ini kepada ayahnya, beliau segera menerima jawapan dari ayahnya melalui telegraf yang mengatakan, “Sulaiman, aku tidak mengirimkan engkau ke Istanbul agar engkau masuk ke neraka.” Dengan telegraf ini, ayahnya, Osman Efendi telah mengingatkan kepada dirinya bahwa salah satu hadits Nabi SAW yang berbunyi, “Dua dari tiga orang hakim akan berada di dalam neraka. ”
Dalam surat balasannya, Syeikh Sulaiman Hilmi K.S menyatakan bahawa dia tidak berniat dan tidak tertarik untuk menjadi seorang hakim, tetapi dia berniat hanya untuk menguasai seluruh ilmu-ilmu keislaman pada masa itu. Sebagaimana beliau mendapatkan ijazah dari Madrasah Süleymaniye pada bidang tafsir dan hadits dan menjadi seorang dersi`am, pada tahun 1923 beliau juga berhasil menamatkan Fakulti Kehakiman selama empat tahun di Madrasatul Kuzat dan meraih gelaran sebagai hakim. Dengan demikian, beliau telah berhasil meraih tingkat tertinggi dari segi ilmu akli dan nakli pada masa itu.
Di samping itu, Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S juga telah menyelesaikan pengajiannya dalam bidang Astronomi.
Di bawah ini merupakan mata pelajaran beserta markah-markah yang diperolehi oleh Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S ketika beliau belajar di Madrasah Darül Hilafetil-Aliyye Kısm-ı Ali pada peringkat ketiga:
- Ilmu Tafsir : 10
- Ilmu Hadits : 10
- Ilmu Fikih : 9
- Usul Fikih : 10
- Khilafiyah (Perbandingan Mazhab) : 10
- Ilmu Kalam : 10
- Falsafah : 10
- Ilmu Kehakiman dan Perundangan: 9
- Sastera Bahasa Arab : 10
- Jumlah Keseluruhan Nilai : 88
Di bawah ini merupakan mata pelajaran beserta markah-markah yang diperolehi oleh Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S ketika beliau belajar di Madrasah Süleymaniye pada peringkat terakhir pada tarikh 27 Mei 1919:
- Ilmu Tafsir : 10
- Usul Hadits dan Naqdi Rijal : 10
- Ilmu Hadits : 10
- Thabakat Qurra’ dan Mufassirin : 10
- Risalah (Disertasi Doktor) : 9 + 2/7 = (9, 28)
- Purata : 9 + 9/14 = (9,64)
Di bawah ini beberapa mata pelajaran yang diujikan di Madrasah Kuzat:
- Hukum Romawi,
- Sakk-i Syar’i,
- Hukum Perdagangan Darat,
- Hukum Perdagangan Laut,
- Hukum Antara negara dll.