Kehıdupan
Syeikh Sulaiman Hilmi Tunahan K.S dilahirkan pada tahun 1888 M/1304 H di kampung Ferhatlar di Hezargrad di kota Silistra yang sekarang berada di Bulgaria. Ayah beliau seorang dersi`am terkenal bernama Hocazade Osman Fevzi Efendi (1845-1928) yang menamatkan pengajiannya di Istanbul dan kemudian mengabdikan dirinya sebagai mudarris dengan mengajar bertahun-tahun di Madrasah Satırlı dan Hacı Ahmet Paşa di Silistra. Ibunya bernama Khadijah. Datuk Syeikh Sulaiman Hilmi Efendi K.S adalah Mahmud Efendi yang juga dikenali sebagai Kaymak Hafız. Mahmut Efendi wafat ketika usianya hampir 110 tahun.
Silsilah keluarga terhormat ini yang dikenali dengan gelaran Hocazade disandarkan sampai kepada Sayyid Idris Bey. Idris Bey dilantik sebagai Tunahan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang merupakan Sultan Turki Utsmani pada waktu itu. Sultan Muhammad Al-Fatih juga menikahkan Idris Bey dengan adik perempuannya.
Syeikh Sulaiman Efendi K.S menggunakan gelaran Hocazade seperti ayahnya dan dengan adanya undang-undang penggunaan nama keluarga, beliau memilih Tunahan sebagai nama keluarganya. Bukan hanya itu, beliau juga dikenali dengan nama Abu Al-Faruq yang diambil dari nama putranya yang telah wafat ketika masih kecil, Faruq.
Suatu hari, ketika ayah Syeikh Sulaiman Efendi K.S, iaitu Osman Efendi masih menjalani pendidikannya di Istanbul, dia mengalami sebuah mimpi yang menarik perhatian dan menghairankan. Di dalam mimpinya, dia melihat ada sebahagian dari dirinya terbang ke langit dan kemudian mula memancarkan cahaya ke seluruh permukaan bumi. Dia mentafsirkan mimpinya itu sebagai petanda bahawa salah satu dari keturunannya kelak akan lahir seorang anak yang soleh dan adil serta akan menjadi pelita penerang dunia secara maknawiyah.
Osman Efendi telah bernikah selepas pulang ke Silistra, Bulgaria. Ketika mula memiliki zuriat, dia berusaha mencari yang manakah di antara anak-anaknya yang membawa ciri-ciri seperti yang ada didalam mimpinya itu. Dia memiliki empat anak lelaki yang diberi nama Fehim, Sulaiman Hilmi, Ibrahim, dan Halil. Tidak lama kemudian, ketika Syeikh Sulaiman Hilmi K.S beranjak dewasa, ayahnya mula melihat beberapa tanda istimewa daripadanya.Syeikh Sulaiman Hilmi K.S pun mendapat perhatian khusus dari ayahnya.