Abu Bakar As-Shiddiq RA merupakan silsilah sa’adat yang pertama dan merupakan seorang sahabat yang paling mulia di antara sahabat-sahabat yang lain. Beliau dilahirkan dua tahun setelah kelahiran Rasulullah SAW. Ayahnya bernama Abu Quhafah dan ibunya bernama Salma binti Sakhar. Nasab keturunannya dari ayah dan ibunya sampai kepada salah satu buyut Rasulullah SAW yang bernama Murrah. Pada zaman jahiliyyah, nama asal beliau adalah “Abdul Rabbil Kaa’bah” kemudian Rasulullah memberikan kepadanya nama “Abdullah” setelah beliau masuk Islam. Beliau diberi gelaran“As-Shiddiq” oleh Rasulullah kerana telah membenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah tanpa rasa ragu-ragu dan tanpa meminta sebarang dalil daripada Rasulullah berkenaan kejadian Isra Mi’raj Rasulullah SAW.
Keislaman Abu Bakar RA dan Ajakan kepada Manusia untuk Memeluk Agama Islam
Ketika Rasulullah SAW berdakwah mengajak manusia untuk memeluk agama Islam, Abu Bakar RA terus menerima agama Islam tanpa keraguan sedikit pun di hatinya. Setelah beliau memeluk agama Islam beliau mula mengajak manusia-manusia yang lain untuk memeluk agama Islam dan hasil daripada dakwah beliau ramai yang mula memeluk agama Islam sehingga sebahagian daripada mereka adalah daripada kalangan “Asyarah Mubasyarah” (orang-orang yang dijamin masuk ke syurga oleh Rasulullah SAW), seperti Talha RA, Utsman bin Affan RA, dan Zubair bin Awwam RA.
Abu Bakar RA banyak membantu Rasulullah SAW dan orang-orang muslim yang miskin. Ketika Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada harta yang lebih bermanfaat yang diberikan kepada aku lebih daripada harta Abu Bakar ” Abu Bakar RA menangis lalu berkata, “Ya Rasulullah, aku korbankan jiwa dan ragaku untukmu.”
Selepas Abu Bakar RA memeluk agama Islam, beliau telah menginfakkan 40.000 dirham yang dimilikinya untuk agama Islam, dan beliau hanya mempunyai sekitar 5.000 dirham sahaja ketika beliau berhijrah ke Madinah.
Abu Bakar RA telah memerdekakan 7 orang hamba kanak-kanak yang pernah diseksa oleh tuannya kerana mereka telah memasuki agama Islam. Di antara 7 orang kanak-kanak tersebut adalah Bilal Al-Habsyi RA dan Amir bin Fuhairah RA.
Rasulullah SAW Mengajarkan Zikir Khafi
Pada waktu Saidina Abu Bakar RA bersama dengan Rasulullah SAW di Gua Thur, beliau berasa sangat takut dan khawatir apabila mendengar suara tapak kaki orang-orang musyrik yang berada dihadapan Gua Thur. Sebenarnya, beliau tidak sedikit pun risau akan keadaan dirinya sendiri malahan beliau risau akan keadaan Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan ini, Rasulullah SAW terus menenangkan dan menghiburkan Saidina Abu Bakar RA seraya berkata, “Janganlah engkau bersedih!” Akan tetapi, susah bagi Saidina Abu Bakar RA untuk melaksanakan perintah Rasulullah SAW itu disebabakan tidak tahu macam mana ingin berasa terselamat dari perasaan takut dan risau itu. Kemudian, Rasulullah SAW memberitahu kepada Saidina Abu Bakar RA akan sesuatu yang mampu menghilangkan kesedihannya lalu berkata, “Sesungguhnya Allah SWT bersama kita.” Apa yang ingin dimaksudkan oleh Rasulullah SAW adalah, “Maiyatullah; fikirkanlah dan rasakanlah bahawasanya Allah SWT bersama kita. Kerana, orang yang berfikir dan merasakan bahawa dia bersama Rabbnya tidak akan merasa sedih. Walaupun orang itu bersedih, kesedihan yang dirasakannya akan hilang dengan segera. ”Ketika di dalam gua, Abu Bakar RA bertanya kepada Rasulullah SAW tentang rahasia menjadi dekat dan bersama dengan Sang Khaliq. Rasulullah SAW menjawab, “Rahasianya adalah dengan selalu berzikir kepada Allah SWT setiap masa.” Setelah itu, Rasulullah SAW mengajarkan zikir khafi atau zikir qalbi (zikir ismi zat Allah SWT) kepada Saidina Abu Bakar RA dengan cara duduk berhadapan dan lutut saling bersentuhan (duduk ini seperti duduk di antara dua sujud dalam solat), dan mata mestila dalam keadaan tertutup.
Rasulullah SAW mengajarkan zikir khafi kepada Saidina Abu Bakar RA secara khusus jika dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang lain. Beliau mengalirkan cahaya Ilahi yang terdapat di dalam hatinya ke dalam hati Saidina Abu Bakar RA. Kerana Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq RA adalah orang yang paling dekat dengan darjat kenabian, iaitu darjat “siddiqiyah”.
Ketika melakukan zikir qalbi, Saidina Abu Bakar RA akan menahan nafasnya agar dia boleh menumpukan perhatiannya didalam kekhusukan berzikir kepadaNya dengan harapan yang dia akan bermushahadah dengan Allah SWT. Kecintaannya yang begitu besar dan membara kepada Allah SWT nyaris saja mengeluarkan bau hangus dari hatinya yang terbakar. Oleh sebab itu, jiran-jiran Saidina Abu Bakar RA akan selalu mencium bau daging panggang dari rumahnya sehinggakan mereka menyangka bahawa dia sedang memanggang daging. Jiran-jiran Saidina Abu Bakar RA berasa tidak selesa dengan perbuatannya yang tidak membahagikan daging panggang tersebut. Suatu hari, jiran-jiran Saidina Abu Bakar RA mengadukan hal ini kepada Rasulullah SAW. Kemudian, Rasulullah SAW memberitahukan kepada mereka bahawa bau yang mereka cium itu bukanlah bau daging panggang seperti yang mereka sangkakan, tetapi ia adalah bau yang terhasil dari hati Saidina Abu Bakar RA.
Beberapa Hal Penting Berkenaan Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq RA
- Abu Bakar RA merupakan orang pertama yang masuk Islam dari kalangan kaum lelaki
- Abu Bakar RA adalah orang pertama yang menyuruh para sahabat untuk mengumpulkan ayat-ayat Al-Qur’an dan menjadikannya sebuah “Mushaf”
- Abu Bakar RA adalah orang pertama yang diberikan gelaran “Shiddiq, Atiq, dan Khalifah”
- Abu Bakar RA adalah orang pertama yang mendirikan Baitul Mal
- Abu Bakar RA adalah orang pertama yang menginfakkan seluruh hartanya untuk Rasulullah SAW
- Abu Bakar RA adalah orang pertama yang ditugaskan untuk menguruskan ibadah haji
Beberapa Hal “Kedua” Mengenai Abu Bakar RA setelah Rasulullah SAW
- Ketika Rasulullah SAW berdakwah mengajak orang-orang untuk memeluk agama Islam, Abu Bakar RA adalah orang yang pertama menerima ajakan tersebut dan memeluk agama Islam. Oleh kerana itu, Abu Bakar RA adalah orang yang “kedua” beriman setelah Rasulullah SAW.
- Abu Bakar Ash-Shiddiq RA mengajak manusia untuk beriman, dan banyak orang yang telah beriman disebabkan ajakannya. Dengan begitu, Abu Bakar RA adalah orang yang “kedua” melakukan dakwah mengajak kepada agama Islam.
- Ketika Rasulullah SAW sakit sebelum wafat, beliau melantik Abu Bakar RA sebagai imam solat subuh bagi menggantikan dirinya. Oleh sebab itu, Abu Bakar RA adalah orang yang “kedua” menjadi imam solat setelah Rasulullah SAW.
- Abu Bakar RA juga adalah orang yang kedua dimakamkan di “Hujrah Sa’adah” (Tempat Rasulullah SAW dimakamkan) setelah Rasulullah SAW.
Meminta Izin untuk Pemakaman
Saidina Ali bin Thalib RA menjelaskan, “Sebelum Abu Bakar Ash-Shiddiq RA meninggal, beliau memanggil dan memintaku untuk duduk di sampingnya. Kemudian beliau berkata, ‘Wahai Ali, ketika aku wafat nanti, kau mandikanlah aku seperti mana engkau telah memandikan Rasulullah SAW, setelah kau memberikan wangi-wangian kepadaku, bawalah aku ke Hujrah Sa’adah dan mintalah izin daripada Rasulullah SAW. Jika kau melihat pintunya terbuka, makamkanlah aku di sana. Namun, jika pintunya tidak terbuka, makamkanlah aku di perkuburan orang-orang islam(sehinggalah para sahabat mendapat kata sepakat akan tempat pemakamanku). Ketika Abu Bakar RA wafat, aku memandikannya dan mengafani jenazahnya. Aku datang pertama kali ke pintu Rasulullah SAW untuk meminta izin seraya berkata, ‘Ya Rasulullah, orang yang datang ini adalah Abu Bakar RA. Dia ingin meminta izin darimu agar bisa dimakamkan di sebelahmu.’ Pintu pun terus terbuka. Pada saat itu, aku mendengar suara yang mengatakan, ‘Bawalah Habibi (kekasih, sahabat) kepada kekasihnya kerana seorang kekasih merindukan kekasihnya.’”
Wafat dan Makam Syarif (Mulia)
Saidina Abu Bakar RA berasa sangat sedih dengan kematian Rasulullah SAW dan hari demi hari badannya menjadi semakin lemah dan kurus.
Kematian Rasulullah SAW juga telah mejadi salah satu punca kepada kematian Saidina Abu Bakar RA.Beliau wafat pada malam Selasa tanggal 23 Jamadil Akhir 634 Masehi, pada waktu itu beliau berusia 63 tahun.
Masa kekhalifahan Abu Bakar RA berlangsung selama 2 tahun 3 bulan dan 10 hari. Saidina Umar bin Khattab RA telah menjadi imam dalam mensolati jenazah beliau. Saidina Abu Bakar RA dimakamkan pada malam hari beliau meninggal. Jenazahnya diturunkan ke dalam kubur oleh anaknya yang bernama Abdurrahman RA, Umar bin Khattab RA, Utsman bin Affan RA, dan Talha RA. Kepala jenazah Abu Bakar RA dimakamkan sejajar dengan bahu Rasulullah SAW.